Sulfur dioksida ialah gas beracun tidak berwarna, dan mempunyai bau yang menusuk hidung. Sulfur dioksida terbentuk secara semula jadi daripada aktiviti gunung berapi dan daripada pereputan jirim organik. Ia boleh dibuat dengan membakar sulfur atau memanaskan sebatian sulfur logam. Ia juga dilepaskan ke dalam atmosfera oleh loji penapisan minyak, kilang dan loji kuasa elektrik yang membakar batu arang atau minyak. Dalam udara yang dihidu manusia, bahan ini boleh merengsakan mata dan sistem pernafasan. Ia juga mungkin larut dalam titisan air untuk membentuk hujan asid, yang boleh mendatangkan mudarat atau membunuh hidupan liar dan merosakkan bangunan. Hujan asid juga mungkin terbentuk apabila sulfur dioksida di udara bertukar menjadi sulfur trioksida. Banyak kerajaan mengehadkan amaun sulfur dioksida yang boleh dilepaskan oleh industri ke dalam udara. |