Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
ialah pertubuhan yang dianggotai lebih daripada
150 buah negara yang berusaha untuk menubuhkan
satu sistem pembayaran dan perdagangan
antarabangsa yang cekap. IMF berusaha untuk
membantu negara anggota mencapai pertumbuhan
ekonomi yang pantas, tahap guna tenaga yang
tinggi dan meningkatkan taraf hidup. IMF bertindak
sebagai agensi perunding kewangan antarabangsa
dan masalah hutang. Anggota pertubuhan ini
bekerjasama untuk mengekalkan persetujuan
pertukaran yang teratur antara negara.
IMF ditubuhkan selepas Persidangan Bretton
Woods pada tahun 1944. Ia mula beroperasi pada
tahun 1947 dengan tabung kewangan bernilai AS$9
bilion dalam bentuk mata wang dan emas. IMF
menggunakan tabung itu untuk membantu negara
anggota untuk menyelesaikan masalah imbangan
pembayaran. Pada tahun 1969, IMF mengadakan
sejenis aset simpanan yang dikenali sebagai Hak
Pengeluaran Khas (SDR – Special Drawing Rights)
sebagai tambahan kepada simpanan mata wang dan
emas antarabangsa. Sehingga awal tahun 1990-an,
IMF mempunyai aset bernilai lebih kurang AS$120
bilion.