Sekadar ingin tahu. mungkin menjadi suatu pengetahuan baharu~ "Perkataan yang terpanjang dalam Bahasa Malaysia ialah diketidaknyahcasdiversifikasielektrostat (mengandungi 40 huruf), merupakan istilah yang digunakan dalam bidang saintifik. Manakala perkataan umum yang terpanjang ialah mempertanggungjawabkan (mengandungi 22 huruf)". Betulkah? maaf, soalan agak kebudak2kan. Namun , cukup menarik utk di masa hadapan.. :D | Perkataan mempertanggungjawabkan hasil gabungan apitan memper-...-kan dengan kata dasar tanggungjawab dan perkataan ini terakam dalam Kamus Dewan. Manakala perkataan diketidaknyahcasdiversifikasielektrostat tidak ada dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan, dalam pembentukan perkataan/istilah, perkataan ketidak dan nyah tidak hadir sekali atau berurutan kerana kedua-duanya membawa maksud yang hampir sama seperti ketidakhadiran dan nyah padat. Dan lazimnya dalam pembentukan istilah apabila ada apitan di-...-kan atau ke-...-an baharulah perkataan yang terhasil itu digabungkan. | Istilah | 25.10.2012 |
Sekadar bertanya, 1. Kenapa nama tempat Cyberjaya dan Putrajaya dicantum ? 2. Kenapa nama tempat Subang Jaya dan Petaling Jaya tidak dicantum macam contoh di atas ? | Dari segi ejaan, Cyberjaya dan Putrajaya sepatutnya dieja sebagai dua perkataan. Walau bagaimanapun, penamaan dan ejaan nama tempat dan negeri ditulis menurut arahan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri /pihak berkuasa tempatan masing-masing. | Istilah | 30.05.2010 |
SEKADAR BERTANYA. MASYARAKAT SABAH DAN SARAWAK KAYA DENGAN DIALEK TEMPATAN. ADAKAH DIALEK INI DIGUNA PAKAI SEBAGAI BAHASA MELAYU BAKU WALAUPUN TIDAK TERDAPAT DI DALAM KAMUS DEWAN. KALAU TIDAK, CADANGAN SAYA ADALAH LEBIH BAIK KITA GUNAKAN DIALEK TEMPATAN INI DIKAJI DAN DIJADIKAN SEBAGAI BAHASA MELAYU BAKU AGAR TIDAK PUPUS DIALEK INI. WALAUPUN KITA TAHU INI MERUPAKAN KEKUATAN SESUATU ETNIK, NAMUN INI LEBIH BAIK DARIPADA DIALEK INI PUPUS SUATU HARI NANTI. LAGIPUN ADALAH LEBIH MUDAH DARIPADA KITA MENGGUNAKAN BAHASA ASING UNTUK DISERAPKAN KE DALAM BAHASA MELAYU... TERIMA KASIH | Beberapa kosa kata Sarawak ada digunakan dalam bahasa Melayu , contohnya merarau. Namun, penggunaannya belum meluas. Pihak kami akan mengemukakan cadangan ini kepada pihak atasan untuk mendapatkan pandangan. | Lain-lain | 03.11.2008 |
Sekadar bertanya, saya sering mendengar juruhebah di radio KLFM atau MuzikFm menyebut baharu untuk maksud baru. Bukankah perkataan baharu itu perkataan lama dan tidak digunakan lagi? Mana satu yang betul? Baru, bukan? | Kedua-dua istilah ini betul dan boleh digunakan. Perkataan baharu bukan perkataan lama. | Istilah | 13.01.2008 |
Saya sekadar ingin memaklumkan kepada DBP tentang kesilapan makna 'desert' yang sepatutnya gurun dan bukan pencuci mulut (dessert) dalam PRPM. Sekian. | desert Definisi : (désert) bp pembasuh mulut, pencuci mulut. (Kamus Dewan Edisi Keempat). dessert Definisi : n /pembasuh, pencuci/ mulut, desert. (Kamus Inggeris-Melayu Dewan). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, desert ialah bahasa percakapan (bp) yang membawa maksud pembasuh mulut, pencuci mulut. Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan pula, desert ialah gurun, padang pasir; (as proper n) Gurun: the Gobi D~, Gurun Gobi; coastal ~, gurun pinggir laut; temperate ~, gurun hawa sederhana; a cultural ~, ketandusan budaya. | Makna | 03.09.2019 |
Assalamualaikum. Sekadar ingin bertanya tentang sistem e-Penyelidikan yang tidak dapat dilayari. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Aduan tuan kami salurkan kepada Bahagian Sistem Maklumat DBP untuk tindakan selanjutnya. DBP sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik melalui pelbagai medium demi keperluan pengguna. | Lain-lain | 18.06.2015 |
Maaf, sekadar bertanya dan memberi pandangan 1) Akhir-akhir ini saya melihat semakin galak penggunaan perkataan yang agak janggal di mata akhbar atau pun media masa. Sebagai contoh, 'BARU' ditukarkan kepada 'BAHARU'. 'SIAP SIAGA' ditukarkan kepada 'SIAP SIAGA', 'PARKIR' diperkenalkan menggantikan 'KAWASAN MELETAK KERETA'. Saya berpendapat, kegunaan perkataan asal adalah lebih relevan dari konteks penggunaan bahasa secara harian. Pengenalan perkataaan-perkaataan ini (walaupun mungkin telah wujud sekian lama di kamus dewan), ia tetap janggal bagi kami rakyat biasa. Saya berharap, janganlah keTERUJAAN memperkenalkan/menggalakkan penggunaan perkataaan baru melebihi kesesuaian penggunaaan bahasa di kalangan masyarakat secara meluas. 2) yang mana betul, Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? 3) Pernah satu masa, slogan tv3 'SURE HEBOH' ditukarkan kepada 'JOM HEBOH' bagi mengangkat martabat Bahasa Melayu tetapi pada masa sama, mempromosikan 'RAKAN COP' kenapa tidak 'RAKAN POLIS'??? Terima kasih | Untuk makluman tuan, perkataan baru dan baharu dalam konteks umum kami terima sepertimana yang tercatat dalam kamus, namun kedua-dua kata ini dibezakan penggunaannya dalam konteks ilmiah seperti dalam wacana kebahasaan. Dalam hal penggunaan kata "parkir", kami mencadangkan penggunaan kata tempat letak kereta atau medan kereta. Begitu juga dengan penggunaan "Rakan Cop", kami telah membuat teguran kepada pihak berkenaan dan mencadangkan perkataan "Rakan Polis". Atas perhatian dan keprihatinan tuan dalam hal menguatkuasakan penggunaan bahasa yang betul, amatlah kami hargai dan diucapkan terima kasih. | Lain-lain | 16.06.2014 |
tuan sekadar pertanyaan dan pengesahan: untuk tulisan seperti dibawah 1. ALA-CARTE (12PM - 11PM) 2. AYAM & BURUNG PUYUH BEREMPAH mohon pengesahan tuan. terima kasih Jamaliah Baharudin | Sila hantar visual iklan tuan melalui Khidmat Pengesahan Bahasa DBP.Selepas klik Khidmat Pengesahan Bahasa DBP, skrin Daftar masuk akan dipaparkan. Isi maklumat yang diperlukan kemudian klik daftar. Kod pengaktifan akan dihantar ke e-mel tuan. Demikian juga kata laluan (password) akan die-melkan kepadatuan. Lampirkan visual dalam menu permohonan. | Tatabahasa | 26.12.2013 |
saya sekadar ingin memastikan penggunaan kata seruan aduh dan aduhai. apakah perbezaannya? Apakah kata seruan yang sesuai bagi ayat di bawah: _________ , kasihan sungguh pengemais itu? saya merujuk dalam Kamus Dewan menyatakan maksud kata aduh (mengeluh kerana kesakitan dll) sementara aduhai(rintihan). Maka apakah penggunaan kata seruan yang sesuai? pada pendapat saya secara logiknya, ayat ini merupakan satu keluhan dan bukan rintihan. | Saudara, Berdasarkan kedua-dua makna kata seru yang sesuai ialah aduhai, bagi menunjukkan rintihan dan rasa kesedihan. | Tatabahasa | 07.07.2010 |
Saya ingin bertanya, berkenaan dengan perkataan 'sekadar' , adakah perkataan ini salah ataupun kurang sesuai jika digunakan untuk mengukur kejayaan seseorang individu walaupun kejayaan tersebut merupakan kejayaan di peringkat dunia sekalipun. maksudnya, contoh ayat: seorang ahli sukan yang sekadar meraih pingat perak. mohon pencerahan. terima kasih. | Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud sekadar ialah sesuai atau seimbang dengan, sepadan dengan, cuma, atau hanya (untuk). Maka konsep yang digunakan pada contoh ayat yang diberikan boleh digunakan perkataan sekadar ini. | Tatabahasa | 19.08.2016 |