bagaimana ejaan yang betul? anti-kekerasan atau antikekerasan atau anti kekerasan | antikekerasan | Ejaan | 03.08.2017 |
Apakah padanan baku bagi sexual harassment dalam bahasa Melayu? Pelecehan/gangguan/kekerasan/pencabulan seksual/batin? | Padanan untuk "sexual harassment" ialah gangguan seksual. | Istilah | 31.10.2018 |
Apakah terjemahan untuk perkataan bahasa Inggeris 'stiffness' dalam Fizik? Adakah perkataan itu mempunyai maksud yang sama dengan kekerasan? Terima kasih | Istilah bahasa Melayu untuk "stiffness" dalam bidang Fizik ialah kekakuan . | Istilah | 29.04.2014 |
Bolehkah perkataan 'membaham' digunakan dalam ayat di bawah? Ahli silap mata itu membaham kaca di hadapan penonton. | Maksud membaham ialah makan dgn gelojoh: harimau itu ~ kambing yg menjadi mangsanya; 2. melakukan kekerasan sesuka hati ke atas seseorang (spt memukul, menyeksa, dsb). Semua ayat tersebut betul. Untuk mengetahui makna sesuata perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. Berdasarkan maksud tersebut, ayat "Ahli silap mata itu membaham kaca di hadapan penonton" adalah betul. | Tatabahasa | 26.08.2014 |
Apakah terjemahan yang diiktiraf oleh DBP untuk "Arab Spring", yang merujuk kepada kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab yang lain? | Apakah terjemahan yang diiktiraf oleh DBP untuk "Arab Spring", yang merujuk kepada kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab yang lain? Konsep "Arab Spring" yang berlaku di beberapa negara Arab seperti Mesir dan Tunisia membawa maksud penukaran kerajaan secara tidak sah melalui gerakan revolusi dan keganasan. Gerakan revolusi membawa maksud perubahan sesebuah kerajaan, sistem politik, atau sistem sosial yang dilakukan secara radikal dan kekerasan, seperti rusuhan dan pemberontakan bersenjata. | Istilah | 05.07.2013 |
Assalamualaikum saudara, saya ingin mengemumakan beberapa soalan berkaitan dengan tatabahasa. Saya memperoleh soalan tersebut melalui buku soalan dan ingin mengetahui sama ada ayat-ayat berikut betul atau salah. Berikut ialah soalannya: Membaham 1. Ahli tinju itu membaham lawannya hingga berdarah. 2. Seekor harimau telah membaham seorang penoreh getah. 3. Penjual ubat itu menunjukkan kekuaannya dengan membaham kaca di hadapan orang ramai. 4. Ombak yang mengganas itu telah membaham perahu-perahu nelayan. Sekian, terima kasih. | Maksud membaham ialah makan dgn gelojoh: harimau itu ~ kambing yg menjadi mangsanya; 2. melakukan kekerasan sesuka hati ke atas seseorang (spt memukul, menyeksa, dsb). Semua ayat tersebut betul. Untuk mengetahui makna sesutau perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Tatabahasa | 11.08.2008 |
Salam sejahtera, Saya ingin bertanya mengenai perkataan "rigid". Adakah perkataan ini terdapat di dalam kamus bahasa?. Ayat yang ingin dibina. "Peraturan yang dikuatkuasa tidak rigid dan ia adalah tertakluk kepada budi bicara pegawai dan warga yang bertugas". | Perkataan rigid tidak ada dalam Kamus Dewan. DBP tidak menggunakan perkataan "rigid" dalam bahasa Melayu sebaliknya menggunakan "tegar". Maksud "tegar" dalam Kamus Dewan: 1. tidak dapat dilenturkan, keras kaku; 2. ki tidak dapat diubah (pendirian, pendapat, dll), degil: mereka mempunyai pandangan yg ~; ~ hati = ~ tengkuk tidak mahu menurut (mengalah dll), keras hati, keras kepala, degil; ~ pelupuk mata berani; tanah ~ tanah kering yg keras; bertegar berkeras (berdegil dll), berkeras hati; menegarkan menjadikan (menyebabkan) tegar, mengeraskan; ketegaran kekerasan hati, kedegilan: kegagalan dan kelambatan mencapai perdamaian selalu dikaitkan dgn ~ kerajaan Barat. | Tatabahasa | 17.07.2018 |
Saya ada beberapa persoalan yang ingin dikemukakan kepada pihak tuan seperti yang berikut: 1. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan men.....,imbuhan berapitan men.....kan dan men.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 2. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan di.....,imbuhan berapitan di.....kan dan di.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 3. Manakah penggunaan kata arah yang betul? a.)Di dalam bilik tidur atau di bilik tidur b.)Di dalam rumah atau di rumah? c.)Menyusun buku di atas rak buku atau menyusun buku pada rak buku? 4. Apakah perbezaan maksud di antara kata arah (sisi,tepi,samping dan sebelah?Saya berasa tidak pasti dan waswas dengan penggunaan kata arah yang disebutkan dalam pembentukan ayat? 5. Apakah perbezaan maksud di antara merampas,merenggut,meragut? Sekian sahaja dengan penamatan persoalan saya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan atas bantuan tuan untuk menyelesaikan kemusykilan saua. | 1. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif, contohnya "menyala". Apitan meN-...-kan terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas untuk membentuk kata kerja transitif, contohnya "menghambakan". Apitan meN-...i terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas boleh menerima apitan ini untuk membentuk kata kerja, contoh "membelakangi". Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 151, 191, dan 202. 2. Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga, contohnya "ditulis". Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan.Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Seperti di-...-kan, apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya "dipelopori". Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 175, 202 dan 208. 3. Kedua-dua (a) dan (b) boleh digunakan mengikut konteks. Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, manakala di dalam ialah penggunaan kata sendi nama di diikuti dengan kata arah dalam bagi menunjukkan kedudukan sesuatu benda itu dengan nyata. 4. Kata arah ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk meunjukkan hala atau jurusan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 286. 5. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, "merampas" ialah mengambil dengan kekerasan atau merebut. "Merenggut" bermaksud menarik (mengambil, mencabut, menyentak, merebut) dengan kekerasan atau merampas. "Meragut" bermaksud menarik (menyentak, merabut, mencabut) dengan paksa atau dengan kekuatan. | Tatabahasa | 05.01.2010 |