MONTREAL | Montreal (pend. 1 015 420; pend. kaw. met. 2 900 000) bersaing dengan Toronto sebagai bandar raya yang terbesar di Kanada. Ia terletak di wilayah Quebec dan bandar raya terbesar di dunia yang penduduknya bertutur dalam bahasa Perancis selepas bandar raya Paris. Lebih kurang dua per tiga daripada orang Montreal berketurunan Perancis dan bertutur dalam bahasa Perancis. Montreal ialah salah satu daripada pelabuhan pedalaman terbesar di dunia dan pusat pengangkutan Kanada. Ia juga ialah pusat utama perniagaan, industri, kebudayaan dan pendidikan di Kanada. | UMUM | |
SUKAN PEMBURUAN | Sukan pemburuan ialah sejenis sukan padang, yang popular di banyak negara. Sukan ini melibatkan dua ekor anjing greyhound, yang bersaing untuk memburu seekor kelinci. Orang yang dinamakan beater memacu seekor kelinci ke arah slipper iaitu orang yang mengawasi dua ekor anjing tersebut. Apabila kelinci itu kelihatan dari jauh, slipper akan melepaskan kedua-dua ekor anjing itu supaya mengejar kelinci tersebut. | UMUM | |
TERJUNAN KUTUB UTARA 1998 | Terjunan Kutub Utara 1998 ialah ekspedisi yang diusahakan bagi membuktikan kemampuan Malaysia mencuba sesuatu yang mencabar dan berani bersaing dengan negara-negara maju dunia. Ekspedisi yang dinamakan ‘Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara’ ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 29 Mac 1998. Ia diketuai oleh Rahim Dahalan atau dikenali sebagai ‘Rahim King’. | UMUM | |
PARTI POLITIK | Parti politik ialah kumpulan orang yang teratur yang mengawal, atau cuba mengawal sesebuah kerajaan. Di negara demokrasi, parti politik bersaing antara satu sama lain dalam pilihan raya untuk mengekalkan atau menguasai sesebuah kerajaan. Parti politik boleh bergiat aktif di peringkat kebangsaan, negeri atau wilayah, dan daerah. | UMUM | |
DIALEK MELAYU DI SULAWESI | DIALEK MELAYU DI SULAWESI, dialek yang dituturkan oleh penduduk Pulau Sulawesi, Indonesia. Dialek ini bersaing dengan 60 bahasa daerah yang terdapat di Pulau Sulawesi. Sekurang-kurangnya ada dua dialek Melayu, masing-masing dengan sejarah dan fungsi berbeza-beza. Di sekitar bandar Ujung Pandang (yang dahulu dikenal sebagai Makasar) dan di seluruh Sulawesi Selatan, dialek Melayu Makasar digunakan sebagai bahasa perhubungan antara berbagai-bagai golongan etnik. Lebih kurang 1500 km ke utara di sekitar bandar Manado dan di seluruh Sulawesi Utara, dialek Melayu Menado berfungsi sebagai bahasa perhubungan. Malahan di Semenanjung Utara Sulawesi dialek Melayu Menado sudah berperanan sebagai bahasa ibunda bagi beratus ribu orang Minahasa. | BAHASA | Bahasa |
ARMSTRONG, DUNCAN | Armstrong, Duncan (1968– ) ialah perenang warga Australia yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik 1988 bagi acara 200 meter gaya bebas lelaki. Dia mencipta satu rekod baru dunia dengan kepantasan 1 minit 47.25 saat. Dia juga memenangi pingat perak dalam acara 400 meter gaya bebas. Dia bersaing dalam Sukan Komanwel di Edinburgh pada tahun 1986 dan memenangi dua pingat emas, satu untuk acara 400 meter gaya bebas dan satu lagi sebagai anggota pasukan renang berganti-ganti 200 meter Australia. Armstrong lahir di Brisbane. | UMUM | |
RACQUETBALL | Racquetball ialah sejenis permainan yang pantas dan menyeronokkan, dan kebanyakannya dimainkan di Amerika Syarikat. Pemain memukul sebiji bola dengan menggunakan raket yang menyerupai raket tenis kecil. Kebanyakan permainan ini dimainkan dalam gelanggang tertutup yang berukuran 6.1 meter tinggi, 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar. Permainan ini boleh dimainkan secara perseorangan ataupun berpasangan. Dalam permainan bola raket cut-throat , tiga pemain bersaing sesama sendiri. | UMUM | |
SUNGKUP | Sungkup adalah mana-mana bahan yang ditabur di atas tanah supaya udara boleh lalu, tetapi air dalam tanah tidak boleh menyejat. Sungkup boleh terdiri daripada baja asli, jerami, rumput kering, clover, sekam, alfalfa, tongkol jagung, daun, habuk gergaji, serpai kayu dan banyak lagi bahan lain. Ia biasanya ditabur kira-kira lima sentimeter hingga lapan sentimeter tebalnya. Ia membantu menyimpan air dalam tanah dengan mengurangkan penyejatan, dan ia juga mereput dan memperkaya tanah. Ia juga mengurangkan rumpai yang hidup bersaing dengan tanaman. Sungkup berharga kepada pekebun di rumah, tetapi ia biasanya lebih mahal daripada baja komersial. | UMUM | |
SENOPATI | SENOPATI ( ? -1601), pengasas Kesultanan Mataram (1582-1601). Mataram muncul selepas keruntuhan kerajaan Majapahit pada abad ke-16. Mataram pada asalnya adalah sebuah daerah di Jawa Tengah dan menjadi sebahagian daripada kerajaan Majapahit. Kelemahan pemerintahan kerajaan Majapahit pada penghujung abad ke-16, menyebabkan banyak tanah jajahannya seperti Pajang, Jipang, Surabaya dan Demak membebaskan diri. Antara negeri yang terbesar ialah Pajang dan Jipang. Kedua-duanya bersaing hebat dan bermusuhan. Dalam proses pertelingkahan itu, Pajang yang dipimpin oleh Pangeran Adiwijoyo telah dibantu oleh Kiai Gadai Pemanahan. Sebagai menghargai jasanya mengalahkan Jipang, Mataram telah dihadiahkan kepadanya. Sejak itu, Mataram mula berkembang dan membangun menjadi sebuah negeri yang kuat. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
REVOLUSI MENTAL | REVOLUSI MENTAL, gerakan reformasi anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada akhir tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an yang bertujuan mengubah pemikiran dan budaya orang Melayu yang dikatakan tidak selaras dengan arus pembangunan. Idea tentang gerakan reformasi ini terkandung dalam sebuah buku dengan judul yang sama iaitu Revolusi Mental, suntingan Senu Abdul Rahman. Buku ini dicetak bagi pihak UMNO oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada tahun 1971 dan diulang cetak pada tahun 1973. Buku ini diterbitkan selepas Peristiwa 13 Mei 1969 dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971. Revolusi Mental lahir dalam konteks orang Melayu merasa diri mereka terancam di tanah air mereka sendiri kerana mereka dikatakan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan orang bukan Melayu dan bangsa-bangsa lain di dunia. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |